Sunday, February 05, 2012

PANDUAN MENCARI JODOH YANG BAIK


Benar, jodoh itu ketentuan Ilahi, tetapi dalam proses mencari pasangan hidup, kita dibenarkan untuk merisik pasangan hidup kita. Sebenarnya merisik dianjurkan supaya tak tersalah pilih.

Untuk lelaki yang mahu mencari bakal isteri..
(1) Jangan dilihat pada purdah mahupun tudung semata-mata, kerana Hawa hari ini tidak lagi seperti dulu, lihatlah pada telapak tangannya, andai mudah telapak lembut itu hinggap pada kulit lelaki lain tanpa lapik, fikirlah semasak-masaknya untuk menyuntingnya.
Sesungguhnya memegang bulu anjing itu lebih baik dari menyentuh kulit lelaki atau wanita yang boleh kita kahwini.
(2) Jangan dilihat pada baju labuh mahupun jubahnya semata-mata, lihatlah pada bujur bibirnya, andai kata-katanya berbisa atau kuat suaranya, fikirlah semasaknya andai hati masih teringin menyuntingnya, khuatir kelak dia membawa fitnah buat si suami, menabur buruk diri si suami.
(3) Jangan dilihat pada cantik ayu wajahnya semata-mata, lihatlah pada sepasang indah mata miliknya, andai tidak redup menunuduk pandangan, fikirlah semasaknya andai ingin terus menyunting dirinya, khuatir bila sudah bersuami matanya masih terus meliar memandang segak rupa lelaki lain yang bukan bernama suami.

Untuk wanita yang mahu menerima cinta lelaki..
(1) Jangan dilihat pada kereta mewahnya semata-mata, lihatlah pada aktiviti malamnya, andai liar hidupnya ketika malam menjelma, fikirlah sebaiknya andai mahu menerima, kerana maksiat itu lebih mudah tatkala kelam malam sudah tiba, khuatir juga subuhnya terus leka dibuai mimpi nan indah.
(2) Jangan dilihat pada pakaian berjenama semata-mata, lihatlah pada bahagian kakinya, andai mudah lututnya ditayangkan tatkala lincah di padang bola, fikirlah sebaiknya andai masih mahu menerima, kerana aurat suami itu hanya layak dilihat oleh si isteri.
(3) Jangan dilihat pada tampan paras semata-mata, lihatlah pada mulutnya tatkala berbicara, andai dia mudah menghambur carutan dan sumpah seranah, fikirlah sebaiknya andai masih mahu memilihnya, khuatir apabila bersama kelak, kesalahan kecil anda akan menerima hamburan cacian yang menyeksakan.

Saturday, February 04, 2012

PERANCANGAN

Assalamualaikum..

"If you fail to plan, you plan to fail"



Memang, kita merancang untuk gagal sekiranya kita gagal merancang!

Perancangan yang betul akan membuahkan kejayaan. PERCAYALAH!

YOU DESERVE TO GET WHAT YOU WANT IF YOU PLAN WISELY.

Jadikan diari sebagai medium untuk merancang kehidupan.




Kehidupan yang terancang mampu menjadikan kita manusia biasa yang bertindak secara luar biasa.

BELIEVE THE POWER OF PLANNING!

Bidadari Dunia – Jangan Lembik. Binalah Kekuatan!


Posted by:  Posted date: February 03, 2012 In: Sisters | comment : 10

 Satu perkara yang sering saya perolehi apabila membuka peluang kepada para wanita mengutarakan soalan adalah, permasalahan dalam percintaan. Pelbagai situasi, tetapi boleh dikatakan majoritinya mempunyai masalah yang sama.
Terlalu mudah membiarkan hati disentuhi.
Saya amat memahami bahawa perempuan biasanya mempunyai jiwa yang lebih lembut berbanding lelaki. Bukanlah penulisan kali ini adalah untuk kita menafikan itu semua. Tetapi adalah untuk mengajak kita membina sebuah kerangka prinsip, pemikiran untuk menggunakan kelembutan itu pada tempat yang sepatutnya.
Bukanlah semua tempat perlu kita lembutkan hati kita.
Dan semestinya, bukanlah di semua tempat perlu kita keraskan jiwa kita.
Merasa diri itu mahal.
Satu saya suka untuk saudari-saudari saya punyai adalah ‘merasakan diri mereka mahal’. Saya sentiasa percaya bahawa perempuan adalah mahal. Maka kerana mahalnya perempuan ini, saya sentiasa memandang bahawa mereka adalah makhluk yang terhormat. Kerana itulah saya yakin, Islam menjaga perempuan pada tahap yang tertinggi sekali.
Pada zaman perempuan banyak menjadi hamba dan simbol seks, Islam adalah yang menyelamatkan maruah wanita dan menjadikan mereka terhormat di sisi lelaki.
Maka semestinya, perempuan sendiri yang perlu memilih. Apakah mahu mengambil jalan kehormat ini, atau mahu kekal menjadi ‘murah’? Kerana jelas, Islam bukan satu agama paksaan. Islam adalah jalan hidup pilihan. Pilih Islam, begini dan beginilah yang perlu diikuti. Kita akan dapat kesannya, balasannya, ganjarannya. Pilih selain Islam, begitu dan begitulah yang akan terjadinya. Kita akan terkena kesannya, akibatnya, balasannya.
Sekiranya memilih untuk hidup dalam penghormatan, maka perlulah merasakan bahawa diri itu terhormat, mahal.
Jangan mudah-mudah sahaja membuka hati untuk semua orang.
Lebih-lebih lagi untuk yang tidak diketahui asal usulnya. Dari alam maya contohnya. Yang suka-suka sahaja mengorat kita di tengah jalan. Yang tidak pun melamar kita dari pintu hadapan(ibu bapa). Jangan.

Maka binalah prinsip yang jelas dalam berperasaan.
Saya menjumpai di dalam hidup ini dua jenis perempuan.
Satu yang terlalu mudah sangat menerima.
Kedua yang terlalu sukar sangat membuka hati.
Kedua-duanya tidak elok. Saya melihat permasalahan ini berpunca daripada tiadanya prinsip yang jelas dalam urusan perasaan. Di sinilah kita perlu melihat semula prinsip kita. Apakah prinsip kita?
Soalan pertama yang perlu ditanya adalah – Apakah kita punya prinsip?
Selepas itu baru kita melihat, bagaimanakah prinsip kita.
Sepatutnya di dalam diri kita, sudah ada penggarisan – lelaki yang bagaimana ingin kita jadikan suami?
Daripada penggarisan itulah kita hanya membuka jiwa kita kepada yang selayaknya. Untuk menjadikan perkara ini realistik, maka janganlah meletakkan level yang terlalu tinggi. Hendak seperti Nabi layaknya, Malaikat contohynya, nyata itu hanya menyukarkan keadaan. Perlu difahami bahawa perkahwinan, rumah tangga itu adalah mutualisme, yakni perlu lengkap melengkapi. Maka letakkanlah level yang sederhana, pada masa yang sama kita juga mempertingkatkan diri kita, akhlak kita, rohani kita, minda kita.
Ciri lelaki sahaja tidak mencukupi. Perlu letakkan di dalam diri kita penggarisan – Maruah Seorang Aku.
Yang ini, letakkanlah di level yang tinggi sedikit. Maruah, semestinya tidak patut diletak rendah.
Maka apakah anda ini bermaruah sekiranya dengan mudah menerima lamaran ‘lelaki soleh’ yang dikenali semata-mata di dalam ‘Facebook’? Tidak. Jangan letakkan level maruah anda sedemikian. Letakkan tinggi lagi. Yang melamar anda mestilah jelas identitinya, bertemu dengan kedua ibu bapa/penjaga anda. Yang jelas latar belakangnya.
Apakah anda ini bermaruah sekiranya membenarkan diri di’test’ terlebih dahulu? Dilayan sudah seperti isteri, kemudian baru berkira-kira hendak diambil sebagai isteri yang sah? Jangan. Sesekali jangan. Letakkanlah level itu tinggi lagi. Yang ingin menjadikan anda isteri mestilah yang ada maruah juga. Bukannya yang senang-senang sorong anak dara orang ke hulu-hilir. Yang ada peribadi. Walau tidak menghafal 30 juzu’ Al-Quran, tidak hari-hari qiamullail, tetapi punya adab dan kesopanan yang baik.
Dan apa yang paling penting, setkanlah juga di dalam diri itu perkara ini – Segala apa berkenaan urusan percintaan dan perkahwinan diri aku, mesti Ibu Bapa aku tahu.
Ya. Ini semua untuk menjaga diri kita dari membuat keputusan yang silap. Bukanlah saya mahu katakan yang ibu bapa 100% betul. Tetapi bila adanya pandangan daripada yang lebih tua, kita akan dapat satu pandangan lain untuk menimbang pandangan-pandangan kita. Kita tidak pernah tahu bila kita akan terlalu mengikut perasaan sangat.
Begitulah. Saya melihat, saudari-saudari saya perlu mempunyai perkara ini. Untuk menjaga diri anda juga agar tidak terjebak dengan sebarang penipuan, sebarang keburukan, dosa dan maksiat.
Memandangkan hati kita ini lembut, maka semestinya perlukan penjagaan yang rapi, bukan?
Maka inilah dia penjagaannya.
Perlu ada prinsip yang jelas.
Gariskan prinsip anda.
Jangan terlalu mudah menerima!

Tetapi jangan sampai terlalu ekstrem.
Biasa melihat perempuan yang meletakkan bakal suaminya mestilah yang rajin qiamullail, yang hafal 30 juzu’ Al-Quran, dan sebagainya?
Saya tidak mahulah kata ini nasihat saya, tetapi apa yang saya bakal nyatakan ini adalah nasihat daripada bapa saya. Dahulu, saya juga begitu. Mahu isteri yang hafal Al-Quran 30 juzu’, mahu yang mengaji agama dan sebagainya. Tetapi bapa saya menasihati saya:
“Jangan letak level tinggi sangat. Bersederhanalah.”
Ya. Bersederhanalah. Ketahuilah bahawa di dunia ini tiada yang sempurna sebenarnya. Saya sentiasa berfikir akan nasihat bapa saya itu, dan saya dapat menyelami kebenarannya.
Sekiranya kita mampu bersederhana dalam meletakkan level bakal pasangan kita, insyaAllah kita mampu bahagia. Kerana, bila level yang kita letakkan itu sederhana, maka apabila dia ‘lebih’ baik, itu sudah jadi bonus buat kita. Sekiranya dia nanti ‘ada’ kelemahan, maka kita nyata telah bersedia kerana kita letakkan level yang sederhana untuknya sebelum ini.
Tetapi, sekiranya kita letakkan level yang terlalu tinggi, hendak dapat pasangan pun belum tentu. Keduanya, manusia ini nyata akan ada cacatnya. Nanti bila kita nampak kecacatannya, kita akan rasa – ini bukan macam yang aku mahu! Dan seterusnya akan membawa kepada masalah dalam rumah tangga pula.
Maka, prinsip kita, janganlah sampai terlalu ekstrem.
Sederhana.
Biar sesuai dengan realitinya sebuah dunia.

Penutup: Biar keimanan memandu perasaan.
Sebab itu akhirnya, saya menyeru kepada saudari-saudari saya agar perkukuhkan kefahaman berkenaan agama Allah SWT. Sentiasalah bersama-sama dengan wanita solehah yang anda kenali. Duduklah di dalam suasana yang membawa hati dan diri itu lebih mendekati Allah SWT.
Dari situ, anda akan dapat menghayati kehidupan ini dan mempunyai prinsip yang jelas.
Hingga apabila sampai waktunya untuk anda membuat pilihan, sampai masanya ada yang melamar anda, sampai ketikanya ada yang ingin mendekati anda, menyentuh jiwa anda, maka anda punya prinsip itu untuk menjaga anda di atas jalan yang selamat.
Anda akan sentiasa pulang kepada Allah SWT, sebelum membuat keputusan. Cinta anda, perasaan anda, dipandu keimanan. Barulah ketika ini istikharah itu terasa berkesan, doa itu terasa berfungsi, dan rintihan anda kepada Ilahi itu terasa didengari.
Saya sentiasa melihat, perempuan itu mahal.
Tetapi apalah yang saya boleh lakukan?
Solusinya, perempuan sendirilah yang perlu merasa dirinya mahal. Perempuan sendirilah yang perlu menjaga diri mereka.
Saya, seorang lelaki ini, hanya mampu memberikan pandangan dan idea semata-mata.
Janganlah terlalu lembik. Binalah kekuatan.
Janganlah terlalu ekstrem. Binalah kesederhanaan.
Semoga saudari-saudari saya lebih terjaga, lebih bahagia.
InsyaAllah.
Mari Menjadi Hamba, wahai bidadari dunia!

LAHIRNYA INSAN TERAGUNG

Assalamualaikum..

12 Rabiul Awal tahun Gajah lahirlah seorang insan yang bernama Muhammad bin Abdullah.

Itulah tarikh keramat di mana lahirnya Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah kekasih Allah dan merupakan rasul terakhir yang diutuskan. Sebab itulah kita sekarang dipanggil umat akhir zaman kerana tiada lagi rasul yang akan lahir selepas Rasulullah.

Hari ini, 4 Februari 2012 yang bersamaan 12 Rabiul Awal 1433H mengungkap kembali peristiwa kelahiran baginda. Jadi, bersempena hari kebesaran ini, ayuhlah sama-sama kita semarakkan lagi sambutan memperingati kelahiran yang penuh bermakna ini dengan memperbanyakkan selawat ke atas baginda.

Bukan itu sahaja, sebagai umat yang mengasihi Rasulullah, kita seharusnnya mempraktikkan sunnah baginda. Memetik satu hadis baginda,

"Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan masuk syurga bersamaku"




Banyak sunnah yang boleh kita amalkan dan ianya tidak terbatas mengenai hal-hal ibadat sahaja. Antara sunnah-sunnah Rasulullah adalah makan menggunakan tangan, menunaikan solat Dhuha, meminum susu kambing, dan pelbagai lagi. Boleh dikatakan kehidupan seharian kita meliputi sunnah Rasulullah. Ini kerana kegiatan harian Rasulullah adalah seperti manusia biasa. Baginda tidak pernah merasakan dirinya maksum. Tiap-tiap ketika baginda akan memohon keampunan daripada Allah walhal jaminan syurga telah dijanjikan kepadanya.

Teringat aku mengenai cerita di saat kewafatan Rasulullah. Sebelum nyawanya dicabuT malaikat Izrail, baginda sempat menyebut "ummati, ummati, ummati" yang bermaksud ummatku sebanyak tiga kali. Walaupun di saat pengakhiran nyawanya, Rasulullah masih lagi mengingati ummatnya. Betapa sayangnya Rasulullah pada kita semua!

Baginda sangat bimbang tentang keadaan ummatnya apabila baginda tiada lagi di dunia. Namun, adakah kita menyayangi baginda sepertimana baginda menyayangi kita? Muhasabah diri masing-masing sempena hati mengingati peristiwa kelahiran Rasulullah ini.

Sentiasalah mengingati Rasulullah di saat kita masih dikurniakan kudrat untuk hidup di dunia ini dan semoga kita mendapat syafaat di akhirat kelak. Sesungguhnya dunia adalah persinggahan dan akhirat itu kekal abadi.

Aku sangat merinduimu Ya Rasululllah!



Hayati bait-bait lirik ini..

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuli lembaran sirahmu
Pahit getir pengorbananmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpaksa tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kemenangan
Terukir namamu di dalam Al-Quran

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan rasul sebagai pembela

Rasulullah, nyanyian Hijjaz


p/s : Salah satu buku favourite aku, Syamail Muhammad SAW. Kini buku tersebut telah berada dalam koleksi aku. *smiley*

BELAJARLAH BERTERIMA KASIH

Assalamualaikum..

Waktu sekarang sudah melewati waktu tidur aku. Entah mengapa mata ini sukar untuk dilelapkan.
Rasanya mungkin aku rindu untuk menulis. Maklumlah, sepanjang berpraktikal aku tidak mampu beronline disebabkan aku yang enggan membawa laptop bersama.

Mungkin waktu yang ada ini sebelum ke tempat praktikal seterusnya dapatlah aku gunakan untuk mencurah idea-idea yang tersimpan.

Semalam (memandangkan waktu ini sudah masuk hari baru) aku banyak mendapat pertolongan. Dari IVM ke Kluang, dari TBS ke Bangsar.. Jadi, aku harus berterima kasih kepada yang sudi membantu.


Kekadang terfikir juga aku. Sudah banyak terhutang budi pada orang. Mampukan aku membalasnya? Hanya ucapan TERIMA KASIH yang tidak terhingga dapat aku berikan. Mungkin dengan cara sebegini aku dapat mengekspresikan penghargaan aku di atas pertolongan mereka.

Terlintas juga di fikiran aku mungkin ada yang merasakan aku mengambil kesempatan melalui persahabatan ini. Maaf andainya ada yang menyesali perkenalan kita. Tapi, tidak langsung terniat di hati untuk melakukannya. Adakan ini hanya mainan perasaan aku atau sememangnya realiti?

Hanya orang melalui sutuasi ini yang mempunyai jawapannya. Maaf sekali lagi kupinta dan hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kalian.

.:KLIK UNTUK MENYUMBANG:.