Sunday, June 19, 2011

Kiat Menghafaz Al-Quran

Assalamualaikum..

Muqaddimah

Tidak dapat tidak bagi mereka yang inginkan hafazan yang kuat memerlukan masa yang panjang. Adapun mereka yang menghafaz kerana sebab-sebab tertentu maka tulisan ini tidak sesuai bagi mereka. Sebelum itu perlu diingatkan bahawa hafazan perlu kepada kesabaran, kesungguhan, tidak tergesa-gesa ingin mendapatkan hasil dan tidak cepat merasa bosan. Perlu diingatkan juga masa yang panjang diperuntukkan untuk hafazan dengan niat menuntut ilmu akan diberi ganjaran oleh Allah swt.

Dua disiplin utama dalam hafazan

Pertama : Kurang jumlah bahan yang ingin dihafaz

Kedua : Ulangan

Kurangkan Jumlah Bahan Yang Ingin Dihafaz

Ini kerana jumlah yang banyak akan menyebabkan cepat rasa bosan dan putus asa. Boleh jadi juga hafazan dalam jumlah yang banyak akan menghilangkan sejumlah hafazan yang lain kerana tiada ketekunan dalam hafazan. Walaubagaimanapun ini bergantung kepada setiap individu. Oleh itu, cara yang praktikal ialah dengan membahagikan bahan yang ingin dihafaz setiap hari dan istiqomah walaupun jumlahnya sedikit.

Ulangan

Hafazan memerlukan kepada ulangan yang banyak. Jumlah bahan yang sikit akan dapat membantu kita mengulangi nas banyak kali dan mengekalkan hafazan dalam tempoh yang lama.

Faktor-Faktor Lain Yang Membantu Hafazan

1. Doa

Doa ialah senjata dan perisai mukmin. Doa juga merupakan wasilah paling cepat dan mudah . Doa yang ikhlas, penuh pengharapan dan dengan hadirnya hati nescaya akan dimakbulkan Allah swt.

Firman Allah swt;

Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembahku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”. (al-Ghafir : 60)

2. Meninggalkan Maksiat

Antara faktor penting yang membantu hafazan ialah menjauhi maksiat. Telah banyak peringatan daripada para salaf tentang perkara ini, di antaranya ;

Telah berkata ad-Dhohhak bin Mahazim:

“Tiada seorangpun yang menghafaz al-Quran kemudian dia melupakannya kecuali dengan dosa yang dilakukan kerana Allah telah berfirman ;

Dan musibah apapun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu) ( as-Syura : 30). Sesungguhnya di antara musibah yang paling besar ialah melupakan al-Quran”.

3. Mengambil Berat

Mengambil berat dan menjaganya dengan bersungguh-sungguh akan membantu memudahkan hafazan. Ini terbukti dalam kehidupan manusia, apabila seseorang mengambil berat tentang sesuatu perkara jarang sekali dia akan melupakannya.

4. Melatih Diri

Kali pertama menghafaz, sebahagian daripada kita akan merasa sukar, akan tetapi melatih diri akan memudahkan hafazan. Dengan banyaknya latihan akan menajamkan kekuatan dan kecepatan hafazan.

Telah berkata al-Askari: “Pada permulaan menghafaz aku merasakan kesukaran, kemudian setelah melatih diri, aku mampu menghafaz 200 bait qasidah setiap malam.”

5. Beramal

Antara faktor yang mengukuh ilmu ialah dengan kita beramal. Ahli Ilmu sering kali mengingatkan kita tentang perkara ini di antaranya;

Telah berkata asy-Sya3bi: “Kami membantu hafazan hadith dengan beramal dengannya.”

6. Memilih Waktu Yang Sesuai

Ini juga menjadi faktor yang membantu hafazan, iaitu memilih waktu yang sesuai untuk menghafaz. Antara waktu sesuai yang disyorkan ulama` ialah pada waktu sahur (sebelum subuh), pertengahan malam dan pada waktu pagi.

7. Menghafaz Pada Usia Muda

Menghafaz di usia muda merupakan satu lagi faktor yang membantu hafazan.

Telah berkata ‘lqomah bin Zaid: “ Hafazanku di usia muda seolah-olah aku melihat helaian kertas”.

Ibu bapa dan penjaga seharusnya mengambil perhatian melatih anak-anak pada usia kecil mereka. Kerana hafazan pada usia ini lebih kuat. Sekiranya waktu muda anak-anak berlalu ia tidak mungkin mendapatkannya semula.

8. Ulang Kaji

Ulang kali merupakan faktor yang tidak dapat dielakkan lagi kerana ia akan membantu mengukuhkan hafazan. Di antara kata-kata para salaf;

Telah berkata az-Zuhri: “ Sesungguhnya yang menghilangkan ilmu ialah lupa dan meninggalkan muzakarah (ulang kaji)”.

Diterjemah dan diringkaskan dari Risalah ;

al-Hifz, ahammiyyatuhu, ‘ajaibuhu, toriqotuhu, asbabuhu.

Dr. Abd. Qoyyum as-Sohaibani

Dipetik dari: http://dakwah.info/featured/kiat-menghafaz-al-quran/

No comments:

.:KLIK UNTUK MENYUMBANG:.